Meta sudah mula sekat pengguna bawah 16 tahun di Australia daripada akses Instagram, Threads, dan Facebook. Ini sebagai persediaan untuk undang-undang larangan media sosial remaja yang telah berkuat kuasa pada 10 Disember 2025 .
Menurut jurucakap Meta, usaha untuk menyekat akaun bawah umur ni sedang giat dijalankan, dan proses untuk patuh undang-undang akan dibuat secara berterusan. Kerajaan Australia pula dah wajibkan 10 platform utama, termasuk TikTok dan YouTube, untuk sekat pengguna bawah 16 tahun. Kalau gagal ambil langkah munasabah, syarikat-syarikat ni boleh kena denda sampai A$49.5 juta (lebih kurang RM209 juta).
Larangan ni dijangka akan menjejaskan ratusan ribu remaja, termasuklah kira-kira 350,000 pengguna Instagram yang berumur 13 hingga 15 tahun. Tapi, ada beberapa aplikasi popular macam Roblox, Pinterest, dan WhatsApp yang masih dikecualikan. Twitch pula baru je ditambah dalam senarai kurang dua minggu lepas.
Meta sudah menegaskan komitmen untuk mematuhi undang-undang Australia ni. Tapi, mereka cadangkan kedai aplikasi (app store) pun patut bertanggungjawab dalam proses pengesahan umur. Menurut Meta, kalau app store yang buat, remaja tak perlu lah nak sahkan umur berkali-kali dekat pelbagai aplikasi.
Sementara tu, YouTube pula mengkritik larangan ni. Mereka berpendapat remaja mungkin akan lebih terdedah bahaya sebab mereka masih boleh layari laman web tanpa akaun, tapi pada masa sama kehilangan penapis keselamatan yang ada kalau mereka log masuk.
Menteri Komunikasi Australia, Anika Wells, pulak menolak hujah YouTube tersebut. Katanya, kandungan tak sesuai itu memang tanggungjawab platform. Beliau siap dedahkan kes remaja di Australia yang bunuh diri sebab terkesan dengan algoritma media sosial yang menjejaskan harga diri mereka. Walaupun undang-undang ni mungkin tak selesaikan semua masalah, tapi sekurang-kurangnya dapat bantu remaja jadi lebih baik dan sihat mental, katanya.
Dalam pada itu, ada kumpulan hak digital, Digital Freedom Project, yang sudah mencabar undang-undang ni di Mahkamah Tinggi Australia. Mereka berkata, undang-undang ni mengekang kebebasan bersuara. Tapi, pihak berkuasa keselamatan siber sendiri akui yang tak ada penyelesaian 100% berkesan, sebab remaja memang ada potensi untuk guna identiti palsu untuk mengelak sekatan ini.
