Image: The Verge
Google kini rasmi melancarkan pelan langganan AI di Malaysia, menandakan langkah serius untuk bersaing secara langsung dengan ChatGPT dari OpenAI.
Pelan ini datang dalam tiga peringkat – Google AI Plus, Google AI Pro, dan Google AI Ultra dengan harga bermula serendah RM11.99 hingga RM1,229.90 sebulan, bergantung pada tempoh dan tahap langganan.
Google AI Plus (RM11.99–RM23.99)
Ini pelan paling asas tapi cukup berbaloi untuk pengguna casual. Anda akan dapat akses kepada aplikasi Gemini, fungsi Flow untuk penjanaan video, dan 200 kredit AI bulanan.
Google AI Pro (RM97.99)
Pelan Pro ini datang dengan percubaan percuma selama enam bulan dan dilengkapi dengan NotebookLM, integrasi Gemini dalam Docs, Vids dan Gmail, serta akses lebih luas kepada alat AI untuk kerja harian dan kolaborasi.
Google AI Ultra (RM614.90–RM1,229.90)
Untuk pengguna hardcore atau syarikat kreatif, pelan ini menampilkan model AI paling canggih, Gemini 2.5 Pro, dengan had penggunaan lebih tinggi untuk fungsi kreatif dan analitik.
Selain itu, Google turut menawarkan langganan Pro percuma selama setahun kepada pelajar universiti, sebagai usaha galakkan penggunaan AI dalam pendidikan.
Langkah ini dilihat sebagai tindak balas kepada OpenAI yang baru sahaja meluaskan pelan ChatGPT di Malaysia, dengan harga bermula RM38.99 sebulan.
Persaingan antara dua gergasi ini semakin menarik. OpenAI mungkin masih unggul dalam kualiti model, tapi Google ada kelebihan dari segi ekosistem. Gemini kini hidup dalam Gmail, Docs, Drive dan YouTube. Kalau ChatGPT ialah otak, Google AI mungkin jadi seluruh badan.

 
									 
					