TikTok mengumumkan berita baik untuk penggunanya: anda kelak boleh mengawal jumlah kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang muncul di halaman ‘For You’ anda.
Dalam beberapa minggu akan datang, TikTok akan mula menguji fungsi kawalan khusus untuk konten AI ini. Dengan pilihan baharu ni, anda boleh melaras sendiri berapa banyak kandungan yang dijana AI yang anda nak tengok di halaman For You – sama ada anda mahu melihat lebih banyak, atau kurangkannya.
Tapi, perlu diingat, tiada pilihan untuk menutup sepenuhnya kandungan AI. Jadi, anda tak boleh lah nak block terus semua content AI tu.
Imej: TikTok
Tetapan baharu ini akan diletakkan bersama kawalan kandungan lain yang sedia ada. Anda boleh akses melalui Settings and Privacy > Content Preferences > Manage Topics. Ketika ini, anda dah boleh sesuaikan kekerapan melihat kandungan lebih daripada 10 kategori, termasuk seni kreatif, tarian, fesyen dan kecantikan, gaya hidup, alam semula jadi, dan pelbagai kategori menarik lain.
TikTok Juga Sedang Uji Watermark Tersembunyi Untuk Kandungan AI
Dalam perkembangan lain, TikTok juga sedang menguji sistem penandaan kandungan AI menggunakan “invisible watermark” atau watermark tersembunyi. Ini bertujuan untuk menjadikan label AI lebih sukar dipadam apabila kandungan itu dikongsi semula atau dimuat naik ke platform lain.
Watermark tersembunyi ini akan ditambah pada kandungan AI yang dihasilkan menggunakan alat TikTok sendiri seperti AI Editor Pro, serta kandungan yang dimuat naik dengan C2PA Content Credentials. Ini penting untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan kekeliruan antara kandungan sebenar dan kandungan yang dijana AI.
