Dunia kripto Malaysia kini ada satu lagi nama baru yang menarik perhatian. Kali ini, ia datang daripada syarikat Bullish Aim Sdn Bhd yang dipengerusikan sendiri oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, dengan melancarkan kriptowang RMJDT.
RMJDT ini apa? Ia adalah stablecoin yang nilainya ditambat terus dengan Ringgit Malaysia. Kriptowang ini dihasilkan atas blockchain Lapisan-1 teras oleh Zetrix, sebuah syarikat teknologi digital yang menjadi tulang belakang kepada Infrastruktur Rantaian Blok Malaysia (MBI) kebangsaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Zetrix, kriptowang RMJDT ini dibangunkan untuk mengukuhkan penggunaan Ringgit Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam penyelesaian perdagangan rentas sempadan. Mereka juga berharap ia akan bertindak sebagai pemangkin untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.
Tak cukup dengan tu, Bullish Aim juga akan menubuhkan sebuah syarikat perbendaharaan aset digital, atau Digital Asset Treasury Company (DATCO). Syarikat ini akan memegang aset kriptowang Zetrix Token bernilai RM500 juta, dan dijangka akan ditambah sehingga RM1 bilion. Aset DATCO ini nanti dijangka akan membantu menstabilkan gas fees (yuran transaksi) untuk pengesahan penggunaan blockchain RMJDT ini.
