Berita sedih untuk peminat tegar dunia filem dan gaming. Pelakon veteran berstatus kultus, Udo Kier, yang dikenali ramai menerusi watak ikonik dalam siri permainan video Command & Conquer: Red Alert 2 dan Call of Duty WWII, dilaporkan telah meninggal dunia pada 23 November 2025 pada usia 81 tahun. Punca kematian beliau belum diumumkan secara rasmi.
Sepanjang kerjaya seni yang bermula seawal tahun 1966, Kier telah membintangi lebih 275 projek, merangkumi filem, siri TV, dan juga permainan video.
Bagi anda yang membesar dengan siri Command & Conquer, nama Udo Kier pasti terlekat di ingatan sebagai Yuri, antagonis karismatik yang menguasai kuasa kawalan minda untuk menundukkan musuh. Beliau bukan sahaja menyerikan Red Alert 2, malah turut menjadi watak utama dalam DLC popular, Command & Conquer: Yuri’s Revenge. Selain itu, beliau turut meminjamkan suara kepada watak Dr. Peter Straub dalam Call of Duty WWII.
Kier dilahirkan di Jerman pada tahun 1944, dan permulaan hidupnya penuh dramatik. Hospital tempat beliau dilahirkan di Cologne telah dibom oleh Tentera Bersekutu, memaksa beliau dan ibunya diselamatkan dari runtuhan. Dalam dunia lakonan, beliau sering membawakan watak antagonis atau makhluk supernatural seperti pontianak, bermula dengan filem klasiknya, Blood for Dracula, sebelum kemudian muncul dalam filem popular seperti Blade.
Walaupun telah tiada, Kier masih mempunyai tujuh projek yang sedang dalam pembikinan, termasuk permainan video OD oleh maestro Hideo Kojima. Di platform X, Kojima meluahkan rasa terkilan dengan berita pemergian ini kerana fasa rakaman lakonan untuk watak Kier masih belum sempat diselesaikan. OD merupakan antara permainan yang paling dinantikan oleh peminat Kojima, kerana ia dipercayai adalah pembangunan semula permainan P.T. yang dibatalkan selepas beliau meninggalkan Konami.
