Bayangkan tahun 1960-an di Jepun pasar raya makin banyak, barangan dari makanan ke pakaian mula dijual secara besar-besaran. Orang ramai pergi membeli-belah, cashier (juruwang) di kaunter perlu tekan harga secara manual satu persatu. Tak pasal-pasal tangan sakit, stress, dan kerjanya jadi lambat.
Mulanya Pada Keperluan, Idea Tercetus
Untuk selesaikan masalah ini, sistem “barcode” mula diperkenalkan. Tapi barcode ada hadnya: maklumat yang boleh disimpan terhad (sekitar 20 aksara alfanumerik). Pengguna mula tanya: boleh tak kod yang simpan lebih banyak info? Boleh tak kod itu tampung tulisan Jepun seperti Kanji & Kana?
Cabaran itu diambil oleh Masahiro Hara dan pasukan kecil di syarikat Denso Wave.
Masahiro Hara dan Pasukan Kecilnya
Dengan hanya dua orang dalam pasukan, mereka cuba cipta kod baru yang:
- boleh simpan ribuan aksara
- boleh dibaca dengan pantas dari mana-mana sudut
- dan masih selamat daripada salah baca
Hara mendapat idea genius: tambah position detection pattern iaitu tiga kotak hitam di hujung QR code yang kita kenal hari ini. Kotak ini bantu pengimbas baca kod walau dari mana-mana sudut sekalipun.
Selepas ribuan eksperimen, akhirnya lahir satu kod yang boleh simpan 7,000 nombor dan 10 kali lebih laju berbanding teknologi 2D lain ketika itu.
 
															QR Code Dilancarkan & Jadi Untuk Semua
Tahun 1994, Denso Wave memperkenalkan Quick Response Code (QR Code). Walaupun dipatenkan, mereka memilih untuk melepaskan royalti. Maksudnya, sesiapa pun boleh guna teknologi ini secara percuma. Keputusan berani ini menjadikan QR code cepat tersebar ke seluruh dunia. Dari logistik, makanan, farmasi, hingga ke telefon pintar.
Kisah ini mengingatkan kita kepada keputusan Volvo pada tahun 1959. Jurutera Volvo, Nils Bohlin, mencipta tali pinggang keledar 3-point inovasi keselamatan yang terbukti menyelamatkan jutaan nyawa di jalan raya.
Volvo boleh sahaja mengaut keuntungan dengan mematenkan teknologi ini, tetapi mereka memilih untuk melepaskan hak paten demi keselamatan semua pengguna jalan raya. Sama seperti QR code, tindakan altruistik ini membuktikan bahawa bila teknologi dibebaskan, manfaatnya jadi global dan tak ternilai.
COVID-19 dan Kebangkitan QR Code
Sebelum 2020, QR code nampak “biasa-biasa”. Tapi bila pandemik melanda, ia jadi teknologi penting. Di Malaysia, aplikasi MySejahtera bergantung pada QR code untuk check-in lokasi dan pengesanan kontak rapat. Tanpa QR code, sistem pengurusan pandemik mungkin lebih perlahan dan rumit.
Dari Dulu Sampai Sekarang
Hari ini, QR code ada di mana-mana untuk pembayaran tanpa tunai, menu restoran, NFC Business Card (kad nama digital), tiket, malah seni dan pemasaran. Semua bermula daripada seorang jurutera Jepun yang nak selesaikan masalah kilang, kemudian memilih untuk berkongsi ciptaannya dengan dunia.
 
 

 
									 
					