Krisis geopolitik di Asia Barat kini mula memberi kesan luar jangka kepada industri makanan di Jepun. Syarikat makanan terkenal Jepun, Calbee, dilaporkan mula menjual beberapa produk mereka dalam bungkusan hitam putih akibat kekurangan dakwat berwarna.
Menurut laporan, kekurangan bekalan dakwat ini berpunca daripada gangguan bekalan naphtha, bahan asas petroleum yang digunakan dalam penghasilan dakwat percetakan.
Sebanyak 14 produk Calbee termasuk keropok kentang dan granola kini menggunakan rekaan monokrom buat sementara waktu. Lazimnya, produk makanan ringan menggunakan pembungkusan berwarna terang bagi menarik perhatian pengguna di rak pasar raya.
Jepun merupakan antara negara yang sangat bergantung kepada import tenaga, dengan sekitar 95% minyak mentah dan 60% bekalan naphtha diimport dari Asia Barat.
Harga naphtha juga dilaporkan meningkat mendadak selepas konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran memuncak pada penghujung Februari lalu. Harga bahan tersebut naik daripada sekitar USD550 satu tan kepada USD873 satu tan.
Perkembangan ini menunjukkan bagaimana konflik global bukan sahaja memberi kesan kepada harga minyak dan tenaga, malah turut menjejaskan rantaian bekalan industri lain termasuk percetakan dan pembungkusan makanan.
Sumber: Livedoor News Japan
