Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mencadangkan penganjuran Hari Muzik Negara bagi menghargai sumbangan penggiat muzik tempatan dan mengangkat industri kreatif sebagai salah satu pemacu ekonomi negara.
Menurut Fahmi, sambutan ini bukan sekadar acara simbolik, ia diharap dapat membela nasib penggiat muzik dalam isu royalti, peluang pekerjaan, dan pengiktirafan harta intelek tempatan di peringkat antarabangsa.
“Kalau kita ada satu hari muzik yang khusus, ia dapat mencerminkan hasrat kerajaan untuk menjadikan industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi.
Cadangan ini akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan selepas kajian industri muzik yang dijalankan bersama MyCreative Ventures disiapkan. Kajian itu turut mencadangkan penubuhan akta khusus bagi melindungi industri muzik tempatan.
Fahmi berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dalam beberapa bulan akan datang untuk meneliti hasil kajian tersebut dan menentukan langkah terbaik ke hadapan.
Jika diluluskan, Hari Muzik Negara bakal menjadi wadah tahunan untuk mengiktiraf bukan saja artis di atas pentas, tetapi juga kru, penerbit, komposer, dan semua tenaga kerja di belakang tabir, mereka yang menjadikan muzik Malaysia terus hidup.
Sumber: Bernama
